Subscribe:

Pages

Thursday, December 29, 2011

Hukum memakai purdah bagi Muslimah



Di dalam Bahasa Arab, purdah disebut sebagai niqab. Menurut Kamus Besar Arab-Melayu Dewan, purdah bermaksud kain penutup muka perempuan. Secara lazimnya, kain tersebut digunakan menutup sebahagian besar kawasan muka sesesorang perempuan itu melainkan matanya sahaja.Memakai purdah ini sebenarnya untuk menutup muka,dan disitu terdapat khilaf dikalangan para ulama' yang berselisihan pendapat dalam kefahaman tentang wajah perempuan itu adalah aurat ataupun tidak dan wajibkah perempuan memakai purdah?.

Sesungguhnya pemakaian purdah oleh para wanita Islam merupakan masalah khilafiyah iaitu sesuatu perkara yang menjadi perselisihan pendapat dan pertikaian di kalangan para ulama. Ulama berselisih pendapat tentang masalah ini sejak dahulu lagi dan perselisihan ini berterusan sehingga sekarang. Punca berlakunya perselisihan adalah kerana dalil-dalil yang berkaitan dengan masalah purdah ini tidak terdapat dalil-dalil yang putus dan jelas. Jadi para ulama menyatakan pendirian mereka berdasarkan pemahaman dan ijtihad masing-masing di dalam memahami nas-nas yang dikemukakan itu. Maka berlakulah di sana khilaf (perbezaan pendapat) di kalangan para ulama di dalam menetapkan hukum memakai purdah terhadap wanita Islam.

 Di zaman ini, di kalangan ulama yang kuat menegaskan wajah wanita adalah `aurat antaranya al-Syeikh Ibn Baz r.h.dalam fatwa-fatwanya yang banyak, juga Dr. Sa`id Ramadhan al-Buthi dalam buku kecilnya
“إلى كل فتاة تؤمن بالله” dan sebelum itu `Abu al-`Ala al-Maududi r.h dalam bukunya al-Hijab.
Sementara yang menyatakan wajah wanita bukan `aurat adalah majoriti ulama semasa, antaranya Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam bukunya “النقاب للمرأة المسلمة، بين القول ببدعيته، والقول بوجوبه” Al-Syeikh Nasir al-Din al-Albani r.h. dalam “جلباب المرأة السلمة في الكتاب والسنة dan selepas itu sebagai jawapan dan tambahan kepada kitab tersebut beliau menulis الرد المفحم. Demikian juga Muhammad al-Ghazali dalam banyak tempat dalam buku-bukunya.
Alasan-alasan yang dibawa oleh jumhur ulama yang menyatakan wajah wanita muslimah bukannya `aurat adalah jelas dan nyata. Antaranya:

Firman Allah dalam Surah al-Nur ayat 31

وَلا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلاّ مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَى جُيُوبِهِنَّ
           
Maksudnya: “Dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan (tubuh) mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka”.
Berpandukan ayat ini pihak jumhur berhujah dengan dua perkara:
Pertama: Jumhur menafsirkan maksud: ِإلاّ مَا ظَهَرَ مِنْهَا (maksudnya: kecuali yang zahir daripadanya) ialah wajah dan tapak tangan. Ini sama seperti yang ditafsirkan oleh Ibn `Abbas, Umm al-Mukminin`Aisyah, `Abdullah bin `Umar, Anas bin Malik, Abu Hurairah, al-Miswar bin Makhramah dan lain-lain. Sesiapa yang inginkan pendetilan mereka boleh melihat kitab-kitab tafsir, hadith dan fiqh ketika para `ulama menghuraikan ayat ini. Al-Syeikh al-Albani r.h. mendetilkan penbincangan ayat tersebut dalam kitabnya الرد المفحم membukti bahawa muka dan tapak tangan bukannya aurat bagi wanita muslimah dan beliau menyenaraikan riwayat para sahabah yang memegang pendapat ini.
Kedua: ayat di atas menyatakan:
وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَى جُيُوبِهِنَّ (maksudnya) “dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka”.
Allah hanya memerintahkan agar ditutupجيوب iaitu jamak kepada جيب ataupun kita terjemahkan sebagai bahagian dada yang terdedah disebabkan belahan leher baju. Ini bermaksud wanita diperintahkan agar tudung kepala mereka dilabuhkan sehingga menutup bahagian dada yang terdedah kerana belahan leher baju. Ayat ini tidak langsung menyebut agar mereka menutup wajah mereka. Kalaulah wajah itu adalah `aurat, maka sudah pasti ayat ini akan turut memerintahkan agar mereka menutupnya juga.
Oleh itu al-Imam Ibn Hazm al-Andalusi menyebut dalam al-Muhalla: “Ayat adalah dalil bahawa diharuskan membuka wajah, tidak mungkin sama sekali difahami selain dari itu”

Berdasarkan dalil al-Quran al-Karim dari surah al-Nur ayat 31 yang saya kemukakan di atas, sebilangan ulama berpendapat muka dan kedua-dua tangan adalah aurat iaitu dengan maksud mudahnya setiap perempuan Islam mesti memakai purdah. Sebilangan ulama lagi berpendapat muka dan kedua-dua tangan bukan dikategorikan sebagai aurat dan memakai purdah bukanlah suatu yang wajib. Di sini saya bentangkan pandangan mazhab yang menyatakan muka dan tapak angan wanita itu aurat ataupun tidak dan secara ringkas berkenaan aurat perempuan di hadapan bukan mahram bagi memudahkan kita memahami isu ini dengan sempurna.

Jumhur Ulama:Tidak wajib purdah dan mengharuskan pendedahan muka dan kedua-dua tangan di hadapan lelaki asing yang bukan mahram sekiranya aman dari fitnah.

Mazhab Hanafi:Tidak harus lelaki melihat perempuan asing dan merdeka melainkan muka dan kedua-dua tangan sekiranya tidak dibimbangi mendatangkan syahwat. Adapun kedua-dua kaki juga bukan aurat.

Mazhab Maliki:Aurat perempuan merdeka ketika bersama lelaki asing ialah seluruh badan kecuali muka dan kedua-dua tapak tangan sekiranya tidak menimbulkan syahwat.

Mazhab Shafie:Aurat perempuan yang merdeka adalah seluruh badannya melainkan muka dan kedua-dua tapak tangan sekiranya tidak menimbulkan fitnah. Pendapat lain mengatakan seluruh tubuh perempuan adalah aurat termasuk muka dan kedua-dua tangan.

Mazhab Hanbali:Seluruh tubuh perempuan Islam adalah aurat. Pendapat lain mengatakan aurat perempuan di hadapan lelaki asing adalah suluruh tubuh kecuali muka dan kedua-dua tangan sekiranya tidak menimbulkan fitnah.

Kesimpulannya pendapat jumhur ulama yang mengatakan aurat perempuan Islam adalah seluruh tubuh badannya kecuali muka dan kedua-dua tangan selagimana tidak membawa kepada syahwat dan fitnah adalah lebih bertepatan berdasarkan dalil-dalil yang dikemukakan. Pendapat ini ditarjih oleh Syeikh Prof. Dr. Yusof al-Qaradhawi sepertimana yang telah dinyatakan di dalam kitabnya bertajuk al-Niqab Limaraah dengan mengatakan juga memakai purdah tidak diwajibkan.

Disini saya sertakan fatwa yang telah dikeluarkan oleh Darul Ifta' mesir oleh Dr Ali jum'ah  Muhammad tentang,adakah hukum memakai purdah itu wajib bagi wanita? kerana ada sebahagian ulama' yang mewajibkannya dengan berpegang pada hadis Sayyidah Aisyah radhiyallahu ‘anha, bahawa dia menutup wajahnya ketika sedang melakukan haji dan berpapasan (lalu) dengan rombongan orang asing, sampai rombongan tersebut menjauh.
 Jawapan:
Mufti Agung Prof. Dr. Ali Jum’ah Muhammad:

Pakaian islamik yang diwajibkan ke atas perempuan muslimah adalah semua pakaian yang tidak membentuk lekuk badan (tidak ketat), tidak  jarang, serta menutupi seluruh tubuh, kecuali wajah dan kedua telapak tangan. Tidak ada larangan baginya untuk memakai pakaian yang berwarna dengan syarat tidak menjolok mata, menarik perhatian atau memikat lawan jenis. Bila syarat-syarat ini dapat terealisasi pada suatu jenis pakaian tertentu, maka seorang muslimah boleh memakainya dan menggunakannya untuk berpergian (keluar rumah).
Adapun hukum memakai purdah yang menutup wajah bagi perempuan dan sarung tangan yang menutup kedua telapak tangannya, maka menurut jumhur (majoriti) ulama adalah tidak wajib. Sehingga, seorang muslimah boleh membiarkan wajah dan kedua telapak tangannya terbuka. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT;
“Dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak dari padanya.” (An-Nûr: 31).
Jumhur ulama dari kalangan sahabat dan para ulama setelah mereka menafsirkan “perhiasan yang biasa nampak” dalam ayat di atas dengan wajah dan telapak tangan. Penafsiran ini diriwayatkan dari Ibnu Abbas, Anas dan Aisyah radhiyallahu ‘anhum.
Jumhur ulama juga berpegang pada ayat:
“Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung (khumur) ke dadanya (juyûb).” (Al-Ahzâb: 59).
Al-Khimâr adalah penutup kepala atau tudung. Sedangkan al-jaib adalah bahagian pakaian yang terbuka di atas dada. Dalam ayat ini, Allah SWT memerintahkan seorang muslimah untuk menutup dadanya dengan tudung. Seandainya menutup wajah merupakan suatu kewajiban, nescaya ayat tersebut juga akan menjelaskannya secara jelas.
Sedangkan dalil dari Sunnah adalah hadis yang diriwayatkan Aisyah R.A, bahawa Asma’  binti Abu Bakar mengunjungi Rasulullah SAW dengan mengenakan pakaian yang tipis. Rasulullah SAW pun berpaling darinya seraya bersabda;
يَا أَسْمَاءُ، إِنَّ الْمَرْأَةَ إِذَا بَلَغَتِ الْمَحِيْضَ لَمْ تَصْلُحْ أَنْ يُرَى مِنْهَا إِلاَّ هَذَا وَهَذَا
“Wahai Asma’ , seorang perempuan jika telah mencapai masa haid, tidak boleh ada yang terlihat darinya selain ini dan ini.” Baginda mengatakan demikian sambil menunjuk wajah dan telapak tangannya. (HR. Abu Dawud).
Dan masih banyak dalil lain yang secara tegas menjelaskan tidak wajibnya menutup wajah dan kedua telapak tangan.
Di lain pihak, ada sebahagian ulama yang berpendapat bahawa seorang muslimah wajib menutup wajahnya. Mereka berpegang pada hadis yang diriwayatkan oleh Ahmad, Abu Dawud dan Ibnu Majah dari Aisyah r.a., bahawa dia berkata:
“Rombongan-rombongan haji melintasi kami yang sedang dalam keadaan ihram bersama Rasulullah SAW. Jika salah satu rombongan itu sejajar dengan kami, maka setiap orang dari kami akan menurunkan jilbabnya dari arah kepalanya untuk menutupi wajahnya. Bila mereka telah menjauh dari kami, maka kami membuka wajah kami kembali.”

Hadis ini tidaklah menunjukkan kewajipan menutup wajah bagi perempuan, kerana perbuatan sahabat sama sekali tidak menunjukkan suatu kewajipan. Hadis ini juga tidak menutup kemungkinan dikhususkan untuk para Ummul Mukminin (para isteri Rasulullah SAW), sebagaimana kekhususan larangan menikahi mereka setelah Rasulullah SAW wafat. Di samping itu, sebagaimana diketahui dalam ilmu Usul Fiqh, bahawa peristiwa-peristiwa peribadi yang mempunyai hukum khusus untuknya, jika mengandungi kemungkinan-kemungkinan hukum yang berbeza, maka ia mengandungi makna global (ijmâl), sehingga tidak boleh digunakan sebagai dalil;
(inna waqâi’ al-ahwâl idzâ tatharraqa ilaihâ al-ihtimâl, kasâhâ tsaub al-ijmâl, fa saqatha bihâ al-istidlâl).
أن وقائع الأحوال ، إذا تَطَرَّقَ إليها الاحتمال ، كَسَاها ثَوْبَ الإجمال ، فَسَقط بها الاستدلال
Imam Bukhari, dalam kitab Shahih-nya, meriwayatkan dari Ibnu Umar R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda;
لاَ تَنْتَقِبُ الْمَرْأَةُ اْلمُحْرِمَةُ وَلاَ تَلْبَسُ الْقَفَّازَيْنِ
“Seorang perempuan yang sedang melakukan ihram tidak boleh memakai purdah dan sarung tangan.”
Hadis ini menunjukkan bahawa wajah dan kedua telapak tangan wanita merdeka bukanlah aurat. Bagaimana mungkin keduanya adalah aurat, padahal para ulama telah sepakat atas kewajipan membukanya ketika sedang melakukan solat dan berihram. Kerana sebagaimana yang diketahui, syariat tidak mungkin membolehkan membuka suatu aurat ketika solat, lalu mewajibkan untuk menutupnya ketika berihram. Hal-hal yang dilarang dalam ihram pada asalnya adalah hal-hal yang dibolehkan, misalnya memakai pakaian berjahit, minyak wangi, berburu dan lain-lain. Tidak satu pun dari hal-hal yang dilarang itu awalnya adalah wajib lalu diharamkan kerana ihram.
Kesimpulannya, menutup wajah dan telapak tangan bagi seorang wanita muslimah hukumnya tidaklah wajib, melainkan hanya termasuk dalam wilayah kemampuan. Sehingga jika dia menutup wajah dan kedua telapak tangannya, maka hukumnya dibolehkan. Dan bila dia hanya mengenakan pakaian muslimah sahaja, tanpa menutup wajah dan telapak tangannya, maka dia telah melakukan kewajipan menutup aurat yang telah dipertanggungjawabkan ke atasnya.
wallahua'lam......
 ------------------------------------------------------------------------------------------------------

Firman Allah dalam Surah al-Ahzab, ayat 52

  لا يَحِلُّ لَكَ النِّسَاءُ مِنْ بَعْدُ وَلا أَنْ تَبَدَّلَ بِهِنَّ مِنْ أَزْوَاجٍ وَلَوْ أَعْجَبَكَ حُسْنُهُنَّ

(maksudnya) “Tidak halal bagimu berkahwin dengan perempuan-perempuan yang lain sesudah (isteri-isterimu yang ada) itu, dan engkau juga tidak boleh menggantikan mereka dengan isteri-isteri yang baru sekalipun kecantikan mereka mengkagumkanmu, kecuali hamba-hamba perempuan yang engkau miliki. Dan (ingatlah) Allah sentiasa Mengawasi tiap-tiap sesuatu”.
Ayat ini ditujukan kepada Nabi s.a.w.. Daripada ayat ini jelas bahawa para muslimat ketika zaman baginda s.a.w. tidak menutup wajah mereka, jika tidak bagaimana mungkin kecantikan mereka boleh menarik perhatian baginda. Ini tidak mungkin melainkan wajah mereka terbuka dan dapat dilihat.

Jelaslah disini bahawa memakai purdah bukanlah satu perkara yang mesti dibuat oleh kesemua wanita kerana disana terdapat khilaf-khilaf ulama' yang membincangkan tentang aurat wanita itu bukannya mengharamkan purdah mengikut 'uruf dan keadaan wanita itu sendiri,tetapi pada pandangan saya sendiri pakai ataupun tidak,semua itu adalah elok asalkan dapat menjaga aurat yang wajib mereka tutup mengikut kehendak islam kerana memakai purdah pun adalah satu yang indah bagi seorang wanita dalam memelihara dan menjaga maruah sebagai seorang muslimah,dan sekiranya seseorang muslimah itu hendak memakai purdah,hendaklah memastikan,memakai purdah itu adalah kerana Allah bukannya kerana orang lain kerana pemakaian purdah sebenarnya bertujuan untuk menutup pintu fitnah,

Pilihan untuk memakai purdah adalah ditangan anda sendiri sebagai muslimah bukannya kerana ingin dipandang oleh orang lain tetapi kerana ketulusan dan keikhlasan hati dalam mencari redha Allah mengikut waqi' dan 'uruf diempat masing-masing dalam menjaga maruah sebagai seorang muslimah yang sejati..

ALLAH LEBIH MENGETAHUI SEGALA-GALANYA...
wallahua'lam....... 



0 comments:

Post a Comment